BERDEPAN detik sukar pada awal tahun ini hampir mematahkan semangat atlet karate wanita negara, C.Shahmalarani.

Diduga wabak Covid-19, apabila diuji positif Omicron, rumah keluarganya dilanda banjir pada Disember 2021, karateka berusia 24 tahun itu mengakui hampir putus asa dan enggan memikirkan kerjaya sebagai atlet karate.

Shahmalarani berkongsi detik sukarnya apabila dia bersama 30 ahli pasukan karate positif Covid19 ketika Hari Krismas tahun lalu, sebaik pulang dari menyertai kejohanan di Kazakhstan.

“Sudahlah positif dan perlu kuarantin, rumah keluarga di Klang pula dilanda banjir buruk.

“Waktu itu, saya tiada motivasi untuk meneruskan karate. Berdepan masalah kesiihatan, memikirkan dan mengurus keluarga yang ditimpa banjir dan menghadapi krisis kewangan kerana kerosakan harta benda akibat banjir.

“Namun saya syukur kerana akhirnya, hari yang kelam bertukar cerah dan saya menemui hari-hari membahagiakan.”

Di sebalik detik getir pengalaman hidupnya itu, Shahmalarani masih mampu mengukir senyuman pada hari ini, selepas menggenggam lapan pingat emas sepanjang 2022, baik di pentas kebangsaan, mahupun antarabangsa.

Shahmalarani memenangi pingat emas K1 Series di Jakarta 19 November lalu.

“Last time 2016 adalah yang terbaik buat saya kerana memenangi pingat perak Asian Karate Federation (AKF) dan satu emas pertama Sukan Malaysia (Sukma).

“Namun meneliti pencapaian saya tahun ini, saya pilih 2022 sebagai yang terbaik sepanjang kerjaya karate saya. Banyak good thing happened.. tahun ini the best sehabis best dah,” kata Shahmalarani, ditemui di gelanggang latihan karate negeri Selangor di Seksyen 25, Shah Alam.

Shahmalarani memegang ijazah dalam bidang Science Actuarial Studies, kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master dalam bidang yang sama di Universiti Sunway.

Pemilik senyuman manis ini mengakui, kejayaan terbersarnya tahun ini adalah kejayaannya memenangi pingat emas K1 Series iaitu Persekutuan Karate Dunia (WKF) Karate 1 Series A di Jakarta 18 hingga 20 November lalu.

Setiap kali tidak berada dalam kem latihan kebangsaan, Shahmalarani akan menjalani latihan bersama kem karate negeri Selangor, di Seksyen 25, Shah Alam.

“Saya berbangga kerana mencipta sejarah atlet karate Malaysia pertama memenangi pingat emas di K1 Series, im creating 1st step for malaysian karate athlete.

“Lebih istimewa, saya menang pingat emas itu pada 19 November, sempena hari lahir master (jurulatih) saya.

“Kejayaan ini membuatkan saya mula memasang angan-angan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi,” kata Shahmalarani.

Selain K1 Series, Shahmalarani turut memenangi pingat emas dan perak di Kejohanan Karate Terbuka Finland Oktober lalu, emas Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022), Sukan Universiti Asean, Sukan SEA Hanoi, Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF) ke-9, dan Kejohanan Karate Senior Kebangsaan ke-40.

Jurulatih Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, S Prem Kumar, melatih Shahmalarani sejak berusia 14 tahun lagi.

Bagi jurulatih Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, S Prem Kumar yang melatih Shahmalarani sejak awak terlibat dalam sukan karate, gadis terbabit seorang yang berbakat dan komited.

“Saya kenali dia ketika masih di peringkat kadet, pada 2012 iaitu dia baru berusia 14 tahun. Saya bawa dia ke pertandingan kadet dan dia sangat bagus dan dapat melihat dia sebagai prospek masa hadapan.

“Shahmalarani ni, seorang yang pandai dan memberi komitmen tinggi dalam latihan,” kata Prem.