PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan konsistensi adalah kunci utama jika mereka mahu terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dan merebut peluang untuk memenangi kejuaraan liga pertama sejak 2004.

Arsenal kini berada di tangga ketiga dengan 36 mata daripada 18 perlawanan, sembilan mata di belakang Liverpool dan hanya satu mata di belakang Nottingham Forest yang telah bermain satu perlawanan lebih banyak.

Menurut Arteta, perebutan kejuaraan tidak sepenuhnya berada dalam kawalan mereka, tetapi Arsenal perlu mengekalkan momentum dan memastikan mereka bersedia untuk mengambil peluang jika pesaing tergelincir.

“Ia (perlumbaan kejuaraan) tidak bergantung pada kami. Tetapi kami perlu terus konsisten seperti tukul, berada di sana setiap hari, setiap hari.

“Jika ada pasukan yang menang semua perlawanan, kita ucapkan tahniah kepada mereka dan bersedia untuk musim depan. Tetapi jika tidak – dan sejarah menunjukkan ia jarang berlaku kami akan ada di situ,” kata Arteta.

Arsenal, yang mengakhiri dua musim terakhir di tempat kedua, menunjukkan peningkatan ketara musim ini di bawah kendalian pengurus dari Sepanyol itu.

Arteta yakin bahawa pasukannya sudah membuktikan kemampuan mereka untuk menghadapi cabaran besar, walaupun berdepan dengan situasi sukar seperti kecederaan pemain utama dan penggantungan akibat kad merah.

“Jika ini berlaku musim lalu, bilangan perlawanan yang kami mainkan dengan 10 pemain, kecederaan dalam skuad sudah tentu sukar untuk berada di peringkat pertandingan yang kami ada sekarang.

“Tetapi pasukan ini sudah mengambil langkah besar. Pasukan ini sedang berkembang dan menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Sekarang, kami perlu menghadapi cabaran lebih banyak perlawanan dengan pemain yang lebih sedikit,” jelas Arteta.

Dengan musim memasuki separuh kedua, Arsenal perlu terus berjuang untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam saingan, sambil menanti peluang untuk mencipta sejarah.