KEJOHANAN Tenis ShekhinahPR KL Junior Invitational Mixed Doubles 2026 yang berlangsung di Pusat Tenis Negara melabuhkan tirai hari ini selepas tiga hari aksi sengit yang menyaksikan bakat muda tenis negara berentap bagi merebut kejuaraan dalam kategori masing-masing.
Kejohanan yang menghimpunkan seramai 32 pasangan beregu campuran itu mempertandingkan dua kategori utama, iaitu Bawah 14 Tahun dan Bawah 11 Tahun, sekali gus memberi peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta mengasah bakat mereka di pentas kompetitif.
Muhammad Oezil bersama gandingannya, Atikah Raihanah, muncul juara bagi kategori Bawah 14 Tahun selepas menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.
Sementara itu, Sulaiman Zahlan dan pasangannya, Tan Ei Qian, turut mencuri tumpuan apabila berjaya dinobatkan sebagai juara bagi kategori Bawah 11 Tahun.
Selain aksi para pemain muda, sokongan padu daripada ibu bapa yang hadir memberikan semangat kepada anak-anak mereka turut menjadi antara daya tarikan sepanjang kejohanan berlangsung.
Salah seorang bapa kepada pemain , Brian Tan mengatakan beliau merasa bangga kerana kejohanan seperti ini dianjurkan di Malaysia.
“Jika pada tahun yang mendatang kejohanan seperti ini boleh dilakukan, tahap bagi bakat-bakat muda tenis negara bakal meningkat,” tambahnya.
Ajib Muhamad yang juga bapa kepada juara bagi kategori bawah 14 tahun melihat semangat juang anak-anak muda pada kejohanan ini sangat tinggi.
“Semua ibu bapa di sini ingin melihat anak masing-masing lebih berjaya dalam sukan tenis ini namun akademik tetap perlu diutamakan,”
Secara keseluruhannya, ShekhinahPR KL Junior Invitational Mixed Doubles 2026 bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah menjadi platform penting dalam mencungkil dan mengembangkan potensi generasi baharu pemain tenis Malaysia.