“REALLY love to go back to final and get same feeling again!”
Begitulah betapa besarnya keinginan Shevon Lai dan Goh Soon Huat untuk melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Pasangan itu menepati ramalan sebagai pilihan keempat kejohanan, melangkah ke separuh akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian di Terbuka Malaysia yang sebelum ini sekadar ke pusingan kedua pada edisi 2022, 2023 dan 2024.
“Kami nak sangat ke final, nak rasakan sekali lagi perasaan teruja membuak-buak seperti tahun lalu (Malaysia Masters).
“Walaupun status kejohanan berbeza… saya mahu rasakan perasaan yang sama sekali lagi (perasaan juara),” kata Shevon selepas dia dan Soon Huat menewaskan Cheng Xin-Zhang Chi dari China, 21-15, 22-20.
Sementara itu, kemenangan yang dicapai hari ini disifatkan cukup mendebarkan.
“Set kedua, partner saya buat saya kan cheong (gementar)… tiba-tiba sahaja dia kan cheong, jadi saya juga ikut sama.
“Nasib baik di penghujung ketika mata penting, saya lebih tenang dan akhirnya kami menang,” kata Soon Huat.
Menurutnya, untuk mencapai kemenangan dalam satu-satu perlawanan, Shevon perlu bermain secara konsisten dalam gelanggang sementara dirinya pula kekal corak menyerang.
Di separuh akhir esok, Soon Huat-Shevon akan berdepan pasangan Thailand, Dechapol Puavanokroh, yang menyingkir pemain Perancis, 21-12, 14-21, 21-7.
“Kami pernah lawan mereka dua kali dan masing-masing menang sekali… tapi berdasarkan prestasi mereka di sini, saya lihat mereka bermain bagus dan solid.
“Dechapol bukan sahaja memiliki kekuatan tetapi juga pemain yang bijak, walaupun bersama pasangan baru… mereka bermula cemerlang dan tidak takut akan kekalahan.
“Bagi saya, perlawanan menentang mereka adalah yang paling menakutkan, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga psikologi,” kata Shevon.