PEMAIN muda dari Segamat, Johor, Low Zi Yu membuktikan kehebatannya apabila menggondol dua gelaran pada saingan akhir AFFIN-100PLUS Junior Elite Tour (JET) 2025 di Dewan Persatuan Badminton Kelantan.
Zi Yu, 15, memulakan aksi bergaya apabila menjuarai acara perseorangan perempuan bawah 16 tahun (B16) selepas menewaskan wakil Selangor, Kiera Wong Yin Xuen 21-5, 21-19 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa setengah jam.
Rentak cemerlang itu diteruskan dalam acara beregu B16 apabila bergandingan bersama Auni Fatihin Azuan untuk menundukkan pasangan Putrajaya, R. Loshini-Leong Hwee Ling 21-15, 21-13.
Kemenangan berganda itu turut mengulangi dominasi mereka dalam pusingan kedua JET 2025 sebelum ini, sekaligus meletakkan nama Zi Yu selaku prospek cerah skuad remaja negara.
Sementara itu, pemain dari Pulau Pinang, Lim Zheng Jie turut mencuri tumpuan selepas bangkit menundukkan Leong Di Shan dari Perak 12-21, 21-19, 21-12 dalam final perseorangan lelaki B16 yang berlangsung hampir sejam.
Aksi mantap Zheng Jie jelas menyerlah selepas berjaya mengawal tekanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya di set penentuan.
Melengkapkan senarai juara, gandingan Melaka, Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fuad-Syed Harraz Syed Muzir merangkul gelaran beregu lelaki B16 selepas mudah menjinakkan pasangan tuan rumah, Khashah Khairul Azlan-Muhammad Hazwan Muhammad Hafiy Najwan 21-17, 21-13.