BEBERAPA pemain Pakistan yang beraksi dalam Liga Hoki Kebangsaan bakal menjadi duri dalam daging menjelang pertemuan pasukan itu menentang Malaysia dalam aksi pembukaan kumpulan B, Piala Negara-Negara FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Ketua jurulatih Pakistan, Tahir Zaman berkata, beliau menerima maklumat dari pemainnya berkenaan kekuatan pemain Speedy Tiger yang boleh dimanfaatkan skuad itu.

“Secara jujur, ada pemain saya yang lebih kenal pasukan Malaysia berbanding saya kerana mereka pernah bermain menentang mereka di liga. Jadi, saya kumpulkan sebanyak mungkin maklumat daripada mereka,” katanya, dalam sidang media menjelang perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara FIH esok.

Tahir Zaman yakin perlawanan Pakistan-Malaysia esok akan menjadi sangat menarik.

Untuk rekod, seramai lapan pemain Pakistan menyertai Matador HC dalam saingan TNB MHL baru-baru ini iaitu Ammad Shakeel Butt, Abdul Hannan Shahid, Muhammad Sufyan Khan, Abdul Waheed Ashraf Rana, Zikriya Hayat, Usama Bashir, Rana Muhammad Waleed Ashraf dan Abdul Manan.

“Kami juga menganalisis perlawanan terdahulu menentang Malaysia dalam Trofi Juara-Juara Asia, Piala Negara-Negara dan Piala Sultan Azlan Shah. Mereka sudah melakukan beberapa perubahan dan bawa masuk pemain muda,” ujarnya.

Tahir berkata, perubahan yang dilakukan Malaysia adalah satu langkah ke depan kerana ia memperlihatkan usaha memperkukuh pasukan dengan memikirkan masa depan hoki negara.

Apa juga perubahan dilakukan skuad negara, Tahir menegaskan bahawa Pakistan turut bersedia sepenuhnya dan menjangkakan perlawanan esok bakal berlangsung sengit.