PINGAT emas acara keirin pada hari terakhir Siri Piala Presiden, membuatkan pelumba muda negara, Ridwan Sahrom, menanam keazaman tinggi untuk menncipta napa pada Kejohanan Asia (ACC) Februari depan.

Pingat emas acara keirin pertama buatnya diraih pada final Siri Tiga Piala Presiden semalam, sekali gus membolehkan anak jati Muar, Johor ini mengumpul keseluruhan tiga emas (2 pecut dan 1 keirin serta 1 gangsa pecut).

Semalam, Ridwan menewaskan rakan sepasukan senior, Fadhil Zonis (perak), dan pemenang pingat perak keirin Sukan Asia Hangzhou 2022, Kang Seojun dari Korea Selatan (gangsa), dalam perlumbaan akhir di Velodrom Nasional, Nilai.

“Dalam dua siri pertama Piala Presiden, saya langsung tidak berjaya ke final acara keirin, jadi saya sangat gembira dapat memenanginya dalam siri terakhir ini,” kata anak jati Muar itu.

“Saya berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menang selepas gagal naik podium dalam acara keirin. Saya menerima banyak nasihat, dan pada hari perlumbaan, saya berjaya memenangi pingat emas,” katanya.

Menurutnya, perlumbaan bermula perlahan, tiga pelumba Malaysia memimpin sementara yang lain menunggu masa untuk memintas. Saya memberitahu Ahmad Safwan (Ahmad Nazeri) supaya memulakan pecutan.

“Pada pusingan terakhir, saya melihat Fadhil dan Kang Seo Jun cuba bergerak, jadi saya meningkatkan kayuhan.

“Akhirnya saya menang emas. Ini mengubati kekecewaan sebelumnya dan mengembalikan keyakinan saya untuk bertanding dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC).”

Ridwan, 23, kini menantikan ACC yang dijadualkan berlangsung di Velodrom Nasional dari 21 hingga 27 Februari.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari, dan saya berharap ini membawa saya lebih dekat kepada ACC. Kini saya berada pada tahap 65 hingga 70 peratus, pertandingan ini penting untuk menilai diri sendiri dan memperbaiki apa yang perlu sebelum ACC.

“Saya rasa saya masih perlu meningkatkan kelajuan. Saya ada pecutan dan kekuatan, tetapi selepas ini kami akan berbincang dengan jurulatih dan berusaha untuk mempersiapkan diri sepenuhnya untuk ACC,” katanya.