PASUKAN remaja negara meneruskan momentum positif dalam siri persahabatan menentang Western Australia selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut, dengan keputusan sama, 3-1.

Anak didik Muhammad Amin Rahim mempamerkan peningkatan prestasi terutamanya dari segi tahap kecergasan, biarpun aksi kedua menyaksikan terlalu banyak peluang disia-siakan pemain remaja lelaki negara, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Young Tigers bermula garang dengan mendahului 2-0 pada suku pertama selepas memperoleh jaringan padang melalui Harris Iskandar dan Mughni Mohamad Kamal.

Asak… pemain muda negara mengasak pemain Western Australia pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Pix HOKITA

Skuad yang sebahagian besarnya memenangi pingat emas Sukan Sea Kemboja dan muncul semi finalis Piala Remaja Asia itu, terus selesa pada suku kedua apabila berjaya menambah jaringan ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan T Perabu.

Gol saguhati Western Australia hadir pada suku ketiga juga melalui pukulan sudut penalti.

“Dari segi prestasi yang sangat baik berbanding semalam (perlawanan pertama) terutama pada tiga suku pertama dan pada suku terakhir nampak mereka mula longgar dan memperlahankan rentak.

“Memang banyak peluang terbaik untuk menjaringkan yang dilepaskan dan kita akan tengok balik perkara ini,” kata Amin.

Fokus ketika mengawal bola… pemain hoki remaja lelaki kebangsaan semakin matang. Pix HOKITA

Tambahnya, mereka akan cuba melihat dan memperbaiki semula bahagian serangan selepas terlepas banyak peluang keemasan untuk membolosi gawang Western Australia.

“Untuk saya pada fasa fizikal blok ini memang kita tidak menjadikan jumlah jaringan sebagai keutamaan kerana mahu pemain menyesuaikan diri dengan apa yang perlu mereka lalui sekarang.

“Tapi kalau kita terus memperoleh lebih banyak jaringan ia adalah satu bonus. Apa pun saya gembira melihat mereka beraksi lebih baik dari semalam,” katanya.

Pada aksi pertama semalam skuad hoki remaja negara berjaya mencatat kemenangan 3-1 dan mereka akan berehat sehari (esok) sebelum menyambung aksi persahabatan ini pada Jumaat serta Sabtu.