PASUKAN hoki lelaki kebangsaan beroleh motivasi tinggi apabila mencapai kemenangan pada perlawanan pertama siri Jelajah Eropah, selepas berjaya mengatasi pasukan Belgium B, 3-2.

Beraksi di Sportentrum Wilrijkse Plein Stadium di Antwrep, Speedy Tigers mempamerkan semangat juang tinggi dalam usaha mahu membentuk momentum terbaik dalam siri jelajah Eropah kali ini.

Malah ketua jurulatih, Sarjit Singh menganggap prestasi keseluruhan pemain memuaskan hatinya.

Fitri Saari menjaringkan gol pertama ketika menentang Belgium B, dalam siri perlawanan persahabatan jelajah Eropah.

“Secara keseluruhan kami berpuas hati kerana memulakan jelajah persahabatan ini dengan kemenangan.

“Pada saya, pemain mengambil peluang yang dimiliki walaupun Belgium menguasai perlawanan,” kata Sarjit.

Pada perlawanan itu, Fitri Saari membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi penalti stroke, sebelum Belgium B menyamakan kedudukan dua selepas itu, mengubah kedudukan 1-1.

Selepas itu, Faizal Saari kembali meletakkan Speedy Tigers di depan menerusi jaringan padang pada ke-38, sebelum Azrai Aizad Abu Kamal mengubah kedudukan 3-1 pada minit ke-51, menerusi gol padang menarik.

Namun di penghujung saingan, serangan bertali arus Belgium B membuahkan hasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti yang menjaringkan gol pada minit ke-56 untuk perlawanan berakhir 3-2 memihak Malaysia.

“untuk perlawanan kedua, kami perlu mengurangkan kesilapan individu, perlu lebih pantas dan bijak dalam membuat keputusa dalam masa singkat.

“Pemain juga perlu mempunyai tahap kesedaran dalam permainan yang lebih tinggi.”