CHOONG Hon Jian mengakui debaran makin terasa menjelang Terbuka Malaysia apabila berharap pasangannya, Muhammad Haikal Nazri sempat pulih daripada kecederaan kaki yang terseliuh Jumaat lalu ketika menjalani latihan persiapan akhir pembuka tirai Jelajah Dunia BWF itu.
Pemain beregu lelaki negara itu menyifatkan Terbuka Malaysia sebagai pentas istimewa, apatah lagi kejohanan itu cukup berprestij, berstatus Super 1000 sejak 2023.
Hon Jian pernah merasai suasana Terbuka Malaysia pada edisi 2022, namun ketika itu dia tampil dalam acara beregu campuran bersama Peck Yen Wei.
Bagi edisi kali ini yang berlangsung dari 6 hingga 11 Januari di Axiata Arena, pemain berusia 25 tahun itu bakal membuat debut beregu lelaki bersama Haikal.
“Saya memang teruja nak rasa bermain di Terbuka Malaysia Super 1000 selepas pernah sertai versi Super 750 sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Gandingan ranking ke-33 dunia itu dijadual membuka kempen menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan pertama.
Mengulas keadaan semasa, Hon Jian mengakui tumpuan utama kini adalah memastikan Haikal kembali cergas sepenuhnya sebelum aksi bermula.
“Saya harap dia cepat pulih dan kami berdua bebas daripada kecederaan supaya dapat beri saingan terbaik musim 2026,” katanya penuh harapan, selepas pasangan itu seilih berganti cedera sepanjang 2025.