KEGAGALAN skuad badminton negara menepati sasaran empat emas di Sukan SEA Thailand mengundang “kegawatan” lain apabila Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Meinaky menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya.
Menurut laporan media yang membuat liputan Sukan SEA di Bangkok, legenda badminton Indonesia itu meluahkan rasa kecewa dengan prestasi pemain negara, sehingga sanggup mempertaruh kerjayanya, jika ada pihak mendesak beliau berbuat demikian.

Rexy Mainaky bersama gandingan emas, Pearly Tan-M Thinaah di Bangkok. | FOTO Pearly Tan/Thread
Rexy ketika dihubungi berkata, kenyataannya itu dibuat kerana: “Ia bentuk tanggungjawab saya.”
Semalam berakhirnya kempen skuad badminton di Sukan SEA ke-33 yang menyaksikan hanya satu pingat emas dimenangi menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.
Kekecewaan terbesar tentunya terbit apabila beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 14-21, 17-21 kepada Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi (Indonesia) di final.
Nasib lebih malang apabila juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya menerbitkan cahaya gangsa selepas tewas di separuh akhir di tangan Ruttanapak outphong-Jhenicha Sudjaipraparat (Thailand).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang pingat perak buat negara.
“Secara realistiknya, kita gagal kerana daripada sasaran empat emas yang diletakkan termasuk acara beregu, kita hanya dapat satu dan ini perkara besar yang perlu dinilai semula.
“Saya bercakap mengenai tanggungjawab dan sebagai pengarah di sektor beregu sayalah yang bertanggungjawab jika memang ada desakan (meletak jawatan), saya siap,” katanya.