“JANGAN takut, inilah masa untuk tunjuk kemampuan.” Itu pesan kapten Speedy Tigers, Marhan Jalil kepada pemain muda negara menjelang aksi pembukaan menentang Pakistan dalam Kejohanan Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Menurut Marhan, beraksi di laman sendiri seharusnya dijadikan pembakar semangat buat pemain muda untuk menyerlah dan bukannya menyorok di bawah bayang-bayang pemain senior.

“Bagi saya, pemain muda tidak perlu takut untuk menonjolkan diri. Sebaliknya, mereka perlu lebih bersemangat untuk tunjukkan kebolehan masing-masing,” katanya.

Marhan Jalil dan Fitri Saari, dua tonggak berpengalaman yang mampu memimpin pemain muda mengatasi tekanan.

“Kita sebagai pemain senior akan sentiasa beri motivasi dan semangat di atas padang supaya mereka tidak rasa keseorangan.”

Marhan menegaskan kejayaan pasukan bergantung kepada kesepaduan semua pemain dan bukan hanya kepada beberapa nama sahaja untuk mencipta impak.

“Kita perlukan semua pemain di atas padang, tak boleh harapkan kepada pemain tertentu sahaja. Semua kena main peranan masing-masing.”

Tambahnya, jika Malaysia mampu bermula garang dalam aksi pertama esok, peluang untuk mara ke separuh akhir akan lebih terbuka luas.