THAILAND mengesahkan semua acara Sukan SEA ke-33 yang sepatutnya berlangsung di Songkhla dipindahkan sepenuhnya ke Bangkok berikutan banjir besar dan kebimbangan mengenai keselamatan venue serta risiko penyakit selepas air surut.
Timbalan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Thailand (NOCT), Chalitrat Chantarubeksa berkata, beliau menerima makluman rasmi bahawa keputusan itu dibuat selepas menilai keadaan semasa yang tidak memungkinkan persiapan di Songkhla disiapkan mengikut standard.
“Saya telah menerima pengesahan daripada Chaiyapak Siriwat (Timbalan Presiden NOCT, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sukan SEA) bahawa semua acara yang asalnya dijadualkan di Songkhla akan diadakan di Bangkok,” katanya yang dipetik portal Nation Thailand.
Keputusan itu memberi kesan kepada 10 sukan utama termasuk tinju, bola sepak lelaki Kumpulan B, pencak silat, judo, karate, gusti, kabaddi, catur, petanque dan wushu yang secara keseluruhan menawarkan 109 pingat emas.

Stadium Tinsulanon yang menjadi venue bola sepak lelaki bagi saingan kumpulan B, melibatkan Malaysia, Vietnam dan Laos, terjejas banjir.
Chalitrat menjelaskan kesemua negara peserta menyuarakan kebimbangan khusus terhadap keadaan venue yang terjejas banjir serta risiko penularan penyakit selepas air surut, selain tempoh hanya sembilan hari yang tidak mencukupi untuk memulihkan fasiliti mengikut standard antarabangsa.
Justeru, setiap persekutuan sukan diarahkan mencari venue baharu di Bangkok dengan segera bagi memastikan jadual pertandingan tidak terjejas apabila Sukan SEA berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Beliau turut mengakui banyak kontinjen sudah membuat tempahan penerbangan dan penginapan ke Songkhla, justeru Thailand sebagai tuan rumah akan menanggung pampasan berkaitan agar negara bertanding tidak menanggung kerugian.
“Walaupun banjir adalah insiden luar jangka, kami tetap bertanggungjawab sebagai penganjur dan akan berbincang dengan setiap negara untuk mencari mekanisme pampasan yang paling sesuai,” ujar Chalitrat.