PASUKAN hoki remaja negara seharusnya menyalahkan diri sendiri dek kegagalan meneruskan perjalanan memburu penamat sebagai pasukan kesembilan terbaik Piala Dunia Remaja, selepas mensia-siakan 10 pukulan sudut penalti, sebelum disingkir Belgium 5-3 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Perlawanan bermula dengan penguasaan naib juara edisi 2016, Belgium sebelum hujan lebat mengiringi perlawanan, mengubah situasi perlawanan.

The Young Tigers memperoleh empat pukulan sudut penalti masing-masing dua di suku pertama dan kedua namun anak-anak didik Muhammad Amin Rahim terus mempamerkan ketumpulan di dalam kawasan D lawan.

Alfarico Liau (jersi no 3) gagal menjaringkan penalti shoot-out keempat sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 3-5 kepada Belgium.

Akhirnya mereka menerima padah, apabila Belgium yang hanya memperoleh satu pukulan sudut penalti, menjaringkan gol padang menerusi jaringan Max Luyten pada minit ke-28, sejurus selepas pemain negara, Che Nur Aqirullah menerima kad hijau.

Selepas rehat 10 minit babak pertama berakhir, perlawanan ditangguhkan selama 40 minit akibat hujan lebat.

Bersambung suku ketiga, The Young Tigers mula menunjukkan sifat berani, dengan serangan bertubi-tubi ke kubu pertahanan Belgium.

Begitupun, Belgium beroleh gol kedua menerusi jaringan sudut penalti Hugo Labourchere pada minit ke-36.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim mempamerkan kebangkitan, mengikat Belgium 2-2 dalam tempoh 60 minit perlawanan.

Kesungguhan pemain negara membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila Adam Ashraf menjaringkan gol padang, mengubah kedudukan 2-1.

Aksi terus rancak dan Malaysia memperoleh 10 pukulan sudut penalti namun hanya berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti strok yang diambil Haris Iskandar Osman pada minit ke-51, sekali gus pemenang ditentukan menerusi penalti shoot-out.

Belgium menyempurnakan semua lima penalti shoot-out, namun kegagalan Alfarico Liau yang mengambil penalti keempat, meranapkan Impian The Young Tigers beraksi pada perlawanan penentuan kesembilan dan 10.