KAPTEN pasukan Kedah Darul Aman FC, Sony Norde mengatakan bahawa pasukannya tidak bertuah ketika mereka tewas kepada pasukan Selangor FC semalam di Stadium MBPJ.

Pasukan Sang Kenari memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan semalam namun penyudah mereka yang agak tumpul serta tuah yang tidak bersama mereka menyaksikan pasukan itu tewas tipis dengan keputusan 1-0.

“Ya, kami tahu bahawa ia bukan mudah malam ini (semalam) tetapi kami datang dan berjuang sebaik mungkin.

Sony Norde melakukan beberapa siri percubaaan bahaya terhadap pintu gol Selangor.

“Kami berusaha keras dan kemudian pada babak kedua mereka melakukan beberapa percubaan dan kemudian mereka menjaringkan gol kemenangan, ia agak lewat untuk kami mencari gol penyamaan.

“Kami mendapat begitu banyak peluang tetapi nasib tidak menyebelahi kami malam ini (semalam) tetapi kami akan bekerja keras untuk minggu depan untuk melihat sama ada kami boleh mendapatkan 3 mata untuk perlawanan menentang Perak,” katanya selepas ditemui media.

Norde juga mengatakan bahawa pasukannya perlu berlatih lebih dari segi penyudah agar mereka boleh mencipta gol apabila mendapatkan peluang.

“Saya rasa kami perlu bekerja lebih pada penyudah kami kerana ini adalah bahagian terakhir yang kami perlu perbaiki lagi.

“Dari segi penguasaan bola kami bermain dengan sangat baik. Kami mengikut apa yang jurulatih mahu kami lakukan jadi saya rasa bahagian penyudah saja satu-satunya perkara yang kami perlu perbaiki sebelum bertemu Perak,” ujarnya lagi.

Sony Norde merupakan nama yang tidak asing lagi di Liga Malaysia apabila beliau bermain disini sejak musim 2020 dan kini telah menjaringkan 12 gol liga dalam kariernya di Malaysia.