Harimau Malaya tamatkan penantian 43 tahun, layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Tajuk berita ini menjadi sensasi seluruh negara sebaik sahaja pasukan bola sepak kebangsaan menewaskan Bangladesh, 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malam yang panjang dan bersejarah khasnya kepada peminat bola sepak tempatan bersorak gembira selepas lama menanti.
Figura bernama Kim Pan-gon mencetuskan fenomena dan kegilaan penyokong sebaik sahaja diperkenalkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 21 Januari 2022 sebagai Ketua Jurulatih Malaysia yang baharu menggantikan Tan Cheng Hoe ekoran kegagalan beliau dalam edisi Piala AFF Suzuki 2020.
Pelantikan Kim turut diiringi empat pembantu pilihannya, terdiri daripada pegawai analisis dan kecergasan, penolong jurulatih dan jurulatih teknikal.
Kim ditawarkan kontrak selama dua tahun dan akan disambung sekiranya FAM berpuas hati dengan prestasi skuad negara pada masa hadapan.
Hasilnya, kita berjaya melepasi pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dengan jayanya. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.
Kredit harus diberikan kepada pemain ke-12 diketuai kumpulan penyokong tegar skuad negara Ultras Malaya yang tidak jemu hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil memberi sokongan padu dalam dan luar stadium.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad bola sepak kebangsaan dan barisan kejurulatihan atas kejayaan mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia termasuklah ucapan tahniah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Cumanya, kisah gemilang gagal diteruskan pada final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailad apabila tumpas kepada Tajikistan menerusi penentuan penalti.
Dalam tempoh itu, beberapa siri perlawanan persahabatan berjaya diakhiri kemenangan oleh kem negara termasuklah baru-baru ini naik satu anak tangga ranking FIFA pada kedudukan 145 dunia.

Tunku Mahkota Johor
Berlaku sedikit konflik melibatkan FAM dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertahankan tindakan 14 pemain yang menolak panggilan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022 yang telah bermula 21 Disember lepas.
Jelas Tunku Ismail, pemain bola sepak bukanlah ‘mesin’ yang mampu bermain sepanjang tahun tanpa cuti.
Malah, dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Declan Lambert turut menolak panggilan itu dan Pan Gon dalam sesi temuramah pada hari pertama latihan pasukan negara turut mengakui ini adalah pengalaman pertama dalam kariernya sebagai jurulatih apabila ada pemain menolak panggilan skuad kebangsaan.
Apapun, semuanya ini tidak menjejaskan perjalanan bola sepak negara yang berusaha memburu mata ke sembilan dan layak ke separuh akhir Piala AFF dengan syarat, wajib menumpaskan Singapura aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Manakala, kelibat pemain seperti Faisal Halim, David Rowley, Lee Tuck, Haqimi Azim Rosli, Stuart Wilkin dan lain-lain menjadi taruhan untuk terus memahatkan lagi nama Malaysia di arena bola sepak Asia Tenggara.