SKUAD hoki remaja wanita Malaysia bakal menghadapi cabaran getir apabila turun menentang pasukan pilihan, India, dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Asia Remaja Wanita 2024 di Stadium Hoki Al-Amarat, esok malam.

Ketua jurulatih Malaysia, Lailin Abu Hassan, menyifatkan pertembungan ini sebagai ujian besar buat skuad muda negara, namun beliau percaya pasukan mampu mencipta kejutan jika fokus dan disiplin perlawanan dapat dikekalkan.

“India adalah pasukan pilihan dengan barisan pemain berkualiti.

“Tetapi, kita yakin dengan kelebihan yang kita ada dan akan cuba yang terbaik untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata,” ujar Lailin.

Ketua jurulatih Malaysia, Lailin Abu Hassan

Lailin turut menekankan kepentingan menjaga mentaliti dan mengelak kesilapan mudah yang boleh memberikan tekanan kepada pasukan.

“Pemain perlu fokus dan tidak gugup. Yakin pada diri sendiri serta ikut perancangan yang telah kita tetapkan,” tambahnya.

Bagi memastikan pasukan bersedia, Lailin dan staf kejurulatihan telah merangka pelan taktikal berdasarkan analisis mendalam kekuatan dan kelemahan India.

“Kita telah menganalisis permainan mereka dan akan memastikan pemain bersedia dari segi mental dan taktikal.

“Ini adalah peluang untuk pemain membuktikan kemampuan mereka di pentas Asia,” katanya lagi.

Malaysia, yang memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Thailand, berharap dapat meneruskan momentum positif ini dalam pertembungan penting menentang India.

Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Thailand pada Sabtu. FOTO:AsiaHockey.

Dengan peluang mara ke pusingan seterusnya semakin terbuka, perlawanan pada Isnin dijangka menjadi titik penentu buat skuad negara.

India, yang memiliki reputasi sebagai gergasi hoki di Asia, bakal menjadi lawan yang sukar, namun semangat juang dan fokus pemain Malaysia dijangka menjadi elemen utama dalam usaha mengatasi cabaran tersebut.