BEKAS pemain hoki Kuala Lumpur, Mohammed Zubir Abdul Razak yakin perubahan bakal berlaku dalam Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) menjelang Mesyuarat Tahunan Agung Tahunan (AGM) yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Mohammed Zubir yang kini aktif bergelar jurulatih dan menguruskan Kelab Hoki Felda memberitahu sudah tiba masanya hoki Kuala Lumpur gemilang seperti sebelum ini.
“Saya optimis dengan AGM Sabtu ini dan berharap ada rezeki saya untuk berada dalam pengurusan baharu, bersama-sama membantu menaikkan kembali semangat hoki Kuala Lumpur.
“Sebelum ini Liga Hoki Kuala Lumpur (LHKL) antara yang terbaik di Malaysia… itu dulu. Namun saya agak terkilan selepas pandemik Covid-19 pengurusan baharu mengambil alih dan semuanya sudah berubah.
“Tiada lagi liga anjuran PHKL yang serancak dulu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Mohammed Zubir
Zubir yang akan bertanding merebut kerusi Bendahari memberitahu bahawa harapannya juga untuk melihat semua ahli gabungan ‘sekepala’ macam dulu.
“Kalau boleh ahli gabungan juga ada ‘background’ sukan hoki kerana ia lebih mudah untuk melaksanakan tugas masing-masing.
“Juga saya mahu membantu persatuan mengembalikan kemeriahan hoki Kuala Lumpur dan turut beri fokus kepada promosi di peringkat sekolah.
“Apabila adanya kembali aktiviti di peringkat sekolah, secara tidak langsung ibu bapa juga akan hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka.
“Itu satu pemandangan yang sangat positif,” jelasnya.
Selain daripada itu, Zubir juga berharap AGM Sabtu ini berjalan lancar dan akan cuba yang terbaik.
Mohammed Zubir bakal merebut jawatan bandari bersama seorang lagi calon, Datuk Hasry Sham Chasmen.
Sementara itu seorang lagi calon yang bertanding posisi Naib presiden Delson Wong senada dengan Mohammed Zubir yang inginkan perubahan terutama dari segi pengurusan dan penganjuran liga.
Jelas Delson yang pernah bermain dengan pelbagai kelab Liga Malaysia dan pernah menyarung jersi negara di pentas junior sebelum ini mengakui kemeriahan Liga Hoki Kuala Lumpur sudah hilang serinya.

Delson mahu mengembalikan pasukan hoki Kuala Lumpur dengan pelbagai kaum seperti sebelum ini.
“Yang lepas itu, biarlah lepas. Apa yang saya ingin buat sekiranya menang posisi yang saya sasarkan nanti adalah pertamanya untuk ‘membaiki’ pengurusan yang memang hancur dan merosakkan masa depan hoki junior.
“Sebelum ini Liga Hoki KL ada dianjurkan tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ia sudah hilang. Belum lagi yang pasukan junior. Jadi sebab itulah penting untuk saya dan barisan kepimpinan baharu nanti memperbaiki apa yang perlu.
“Harap juga akan dapat buat perubahan di peringkat sekolah rendah. Dan satu lagi misi saya adalah untuk meramaikan pemain muda bangsa Cina. Sekarang ini susah sangat nak tengok pemain hoki bangsa Cina.
“Saya nak kembali sukan hoki ini untuk pelbagai bangsa. Jadi, ia perlu bermula dari bawah,” jelasnya.
Bekas kapten skuad hoki Selangor (2003-2008) ini bakal berdepan dengan sembilan lagi calon merebut jawatan ini.