STADIUM Likas bakal menjadi saksi pertembungan dua pasukan paling konsisten dalam Liga Super ketika ini apabila Sabah FC melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.
Sabah FC yang mahu mengekalkan momentum lima perlawanan tanpa kalah pastinya mahu menjadikan aksi di gelanggang sendiri sebagai kelebihan untuk menumbangkan juara lapan kali Liga Super itu.
JDT pula pastinya mahu menebus kehampaan apabila dinafikan tiga mata di Melaka sebelum ini dan sudah tentu mahu mengekalkan rekod tanpa kalah sejak dari permulaan musim 2022 ini.

Stadium Likas dilihat sudah bersedia sebagai pentas penentu dengan hampir 30,000 penyokong dijangka membanjiri stadium ini untuk memberikan sokongan kepada para pemain ‘The Rhinos’.
Sabah FC yang hanya tewas sekali di Likas dalam saingan liga berada pada tahap terbaik dengan tiada kecederaan serius yang dilaporkan dengan para pemain juga berada dalam keadaan terbaik.

Keadaan padang di Stadium Likas kelihatan baik dan ini pastinya akan memberikan satu aksi bola sepak bermutu tinggi dan diharap keadaan cuaca juga akan bersahabat pada hari perlawanan esok.
Penyokong-penyokong Sabah FC juga telah diseru untuk memakai jersi merah sebagai lambang penyatuan bangsa kerana ianya pasti akan memberikan semangat tambahan kepada para pemain selain menimbulkan gerun kepada pasukan pelawat.

Perlawanan Jumaat ini bukan hanya akan mendapat tumpuan puluhan ribu peminat bola sepak di Sabah tetapi akan juga mendapat perhatian dari seluruh penyokong bola sepak tempatan dan juga dari negara seberang.
Situasi dijangka akan bertambah hangat apabila pihak Sabah FC ada menyediakan skrin gergasi di padang bersebelahan Stadium Likas bagi penyokong yang tidak mempunyai tiket.
Pastinya keadaan di Stadium Likas akan bertukar menjadi pesta dan diharapkan para penyokong dapat menjaga tata tertib dan tidak melayan sebarang provokasi yang mungkin dilakukan.