MENAMATKAN kejohanan pembukaan Terbuka Malaysia seawal pusingan pertama, bukanlah kayu pengukur yang baik untuk menggambarkan status sebagai beregu wanita nombor 6 dunia.
Gagal menyerlahkan aura sebagai beregu dunia yang digeruni pada kejohanan bertaraf Super 1,000 itu, Pearly Tan-M Thinaah digesa mempelbagai corak permainan supaya tidak mudah dibaca lawan.
Pada hari pertama kejohanan, Selasa lalu, beregu utama negara itu diletakkan harapan tinggi untuk menyerlah di Terbuka Malaysia, dikejutkan dengan kekalahan kepada tangan gandingan ranking ke-80, Siti Fadia Silva Ramadhanti-Lanny Tria Mayasari dalam pertarungan tiga set, 21-19, 14-21, 13-21 pada pusingan pertama.
Kekalahan itu sekali gus meneruskan nasib “malang” buat Pearly-Thinaah yang tersingkir di pusingan sama pada edisi 2024 dan 2023.
Rexy, berkata dia melihat Pearly-Thinaah hanya bergantung kepada satu corak permainan yang mengakibatkan ia mudah dibaca pihak lawan.

“Permainan mereka terlalu mudah dibaca kerana hanya menggunakan satu gaya serangan iaitu smash kuat tanpa ada strategi atau variasi.
“Itu sahaja tidak cukup untuk menewaskan lawan pada tahap tertinggi.
“Pergerakan mereka juga sangat perlahan dan tidak lancar dalam perlawanan itu,” katanya.
Terbuka India menjadi kejohanan kedua pasangan itu musim ini akan bermula Selasa depan, Rexy sedar pasangan itu tidak mempunyai masa mencukupi untuk berlatih mempelbagai corak permainan.
“Namun, sekurang-kurangnya saya mahu melihat bagaimana mereka mengambil iktibar daripada kekalahan perlawanan dengan Siti Fadia-Lanny itu,” katanya.
Di India, Pearly-Thinaah akan membuka tirai saingan menentang gandingan tuan rumah, Prerana Alvekar-Mrunmayee Deshpande di pusingan pertama.