
Stuart dilantik Ahli Majlis Lembaga Pengurusan MSN

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam telah dilantik sebagai Ahli Majlis Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).
Pelantikan Stuart dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya dalam sektor industri sukan dan dilihat antara individu penting dalam perjalanan saingan bola sepak tempatan pada mesyuarat yang dipengerusi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh
Turut dilantik adalah Datuk Subramaniam Raman Nair mewakili Majlis Paralimpik Malaysia dan Alan Ling Sie Kiong yang mempunyai pengalaman dalam sektor perundangan dan pengurusan badan sukan.

Stuart (depan, dua kiri) bersama barisan Ahli Majlis Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bermesyuarat bagi Penggal Ke-23 telah bermesyuarat pada Isnin, 30 Januari 2023 dan telah membuat tiga lantikan baharu yang diharapkan dapat membantu pengurusan majlis.
“R. Subramaniam Raman Nair mewakili Majlis Paralimpik Malaysia, Stuart Ramalingam yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor industri sukan dan Alan Ling Sie Kiong yang mempunyai pengalaman dalam sektor perundangan dan pengurusan badan sukan,” ujar kenyataan media MSN pada Selasa.
Mesyuarat kali ini juga membincangkan cadangan penambahbaikan program dan tadbir urus pengurusan Majlis termasuk dalam aspek keberkesanan pengurusan kewangannya.
“Selain daripada itu, inisiatif penjanaan pendapatan menerusi penajaan turut dibincangkan bagi program-program yang dikenalpasti khususnya bagi memastikan “talent pipeline” yang lebih berkesan di peringkat pembangunan.
“Mesyuarat turut diberikan laporan perkembangan beberapa program utama Majlis seperti Program Gold Paris 2024 dan program-program lain yang dikendalikan oleh Pengurusan Majlis,” katanya.