ATLET lompat bergalah negara, Iskandar Alwi mensasarkan pingat atau dapat memecahkan rekod peribadi terbaik dalam temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam kali ini.

Tambah pemegang rekod kebangsaan 5.31 meter (m) itu, persiapannya kekal seperti biasa sejak perintah kawalan pergerakan diisytihar kerajaan, namun berlaku sedikit perubahan teknik latihan pada 2021.

Anak jati Johor ini menjelaskan tempoh persiapannya adalah kurang daripada setahun namun tetap optimis untuk memberikan persembahan terbaik meskipun hanya menyambut perayaan Aidilfitri di Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, dua pencabar yang dijangka bakal memberi saingan hebat adalah dari Ernest John Uy Obiena dari Filipina dengan rekod peribadi terbaik 5.93m sementara saingan seterusnya hadir menerusi Patsapong Amsam-Ang dengan catatan peribadi terbaik 5.61m.

“Saya menjangkakan dapat pingat atau pecahkan rekod peribadi.

“Sejak dari mula PKP masih kekal latihan seperti biasa tetapi mula latihan teknik dari 2021.

“Saya jangka cabaran daripada Ernest John Uy Obiena dengan personal best 5.93m, yang kedua dari Thailand, Patsapong dengan personal best 5.61m,” ujar Iskandar.

Tambahnya, tekanan kurang dirasakan untuk saingan edisi kali ini kerana ia merupakan penampilan kali keempatnya dalam sepanjang penglibatannya dalam temasya dwitahunan itu.

Pengalaman jelas mendewasakan atlet tinggi lampai itu yang kini menyerahkan segala-galanya kepada tuhan kerana telah berusaha sebaik mungkin semasa sesi latihan.

Dalam pada itu, keluarga merupakan aset kejayaannya meskipun tidak selalu mengungkapnya dengan kata-kata namun dia yakin doa mereka menyebabkan dia berjaya dalam segala cabaran yang dihadapinya.

“Tiada tekanan yang ketara sangat, mungkin sebab pengalaman, edisi Sea Games kali ini yang ke4.

“Tapi sikit-sikit itu adalah debaran, apa pun serahkan semua pada Allah, kalau diizinkan Alhamdulillah, kalau tidak saya redha,” katanya.

Untuk rekod, Iskandar pernah mendapat tempat ke-3 serta memecah rekod kebangsaan (5.25m) dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, johan di  FTAA ALL COMERS KUALA LUMPUR 2018 (5.31m) (rekod baru kebangsaan) , tempat ke-8 Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast (5.00m) , tempat ke-9 Sukan Asia 2018 di Jakarta (5.20m), tempat ke-3 Sukan SEA 2019 di Filipina (5.00m) dan terkini juara Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2022 (4.60m).