MALAYSIA tidak boleh lagi terperangkap dengan strategi lama untuk memburu kejuaraan Sukan SEA menerusi pemilihan acara yang ‘selesa’ kepada atlet tempatan semata-mata.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria menegaskan bahawa penganjuran edisi 2027 nanti perlu berteraskan pembangunan sukan jangka panjang, bukan sekadar mengejar gelaran juara keseluruhan.

“Kejayaan sebenar bukan hanya di KL 2017, tapi bagaimana kita kekalkan prestasi selepas itu. Sayangnya, kita merosot ke tempat kelima, keenam, dan ketujuh. Itu bukan kejayaan sebenar,” katanya.

Beliau menyifatkan pendekatan ‘jaguh kampung’ seperti itu tidak akan membawa sukan negara ke tahap lebih tinggi, sebaliknya hanya memberi ilusi kejayaan dalam jangka pendek.

Norza turut mendedahkan pihaknya sedang meneliti sama ada Malaysia akan mengekalkan 50 acara seperti yang dipertandingkan di Thailand hujung tahun ini atau membuat penyesuaian berdasarkan kemampuan kewangan.

Katanya, jika Malaysia hanya menawarkan 38 atau 40 acara, negara serantau lain pasti akan melobi untuk memasukkan acara kegemaran masing-masing — sesuatu yang perlu ditangani dengan bijak.

“Saya mahu kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama rapat untuk pastikan kejayaan temasya ini. Kita dikenali dengan penganjuran berkualiti, dan imej itu mesti terus dipertahankan,” tegas Norza yang mahu Sukan SEA 2027 dijadikan pemangkin kejayaan ke Sukan Asia dan Olimpik.

TAMAT