JANGAN terlalu memilih pemain muda tertentu sahaja untuk diberi perhatian kerana dibimbangi merugikan negara pada masa hadapan.

Gesaan itu dibuat salah seorang ahli Panel Penasihat Teknikal, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Ong Ewe Hock yang berpendapat semua pemain remaja, seharusnya diberi perhatian sama rata.

“Kita memiliki pemain dari negeri, skuad remaja dan kebangsaan tetapi apa yang saya lihat, tidak ada kesinambungan peralihan pemain remaja ke peringkat senior.

“Kita memerlukan lebih ramai pemain, fokus kepada prestasi setiap mereka. Apabila memiliki sekumpulan bakat besar, anda akan ada banyak pilihan,” kata Ewe Hock, selepas melancarkan kejohanan badminton Piala Ong Ewe Hock, di KL Wellness City, Bukit Jalil.

Kejohanan itu berlangsung di USM Pulau Pinang, 11 hingga 12 Mac.


Justeru, Ewe Hock mahu barisan kejurulatihan BAM tidak hanya fokus kepada pemain remaja yang menyerlah di awal usia sahaja:

“Ada pemain menghasilkan keputusan di awal usia remaja, malah ada juga yang lambat mencipta kejayaan, seperti di penghujung kerier.

“Lihat sahaja Datuk Lee Chong Wei. Pada usia bawah 18 tahun, dia tidak menunjukkan keputusan yang baik tapi dia membuktikannya selepas itu.

“Jadi, amat penting untuk memberi peluang sama rata kepada semua pemain muda. Jika kita hanya beri peluang kepada pemain yang ada nama dan keputusan, bermakna kita tidak memberi mereka peluang.”

Datuk Lee Chong Wei di puncak kegemilangan, suatu masa dahulu. -Sumber Yonex

Ewe Hock memberi contoh kepada Pulau Pinang yang menghasilkan ramai pemain berbakat, namun pemain yang lewat menyerlah seperti Loh Kean Yew, tidak terpilih.

“Dia antara pemain yang lambat naik, kini berada di carta atas dunia.

“Kita sering mengambil pemain nombor satu dan kedua… lain-lain kita lepaskan begitu sahaja.”

Loh Kean Yew  menewaskan S Kidambi pada final Kejohanan Dunia 2021.(Photo by JOSE JORDAN / AFP)

Kean Yew mencipta sejarah pemain badminton Singapura pertama muncul juara dunia, meskipun dia beradal dari Pulau Pinang, dan kini berada di ranking kelapan dunia.

Pada usia usia 12 tahun, Kean Yew menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Singapura, sehingga menukar kewarganegaraan.