SINGAPORE Airlines (SIA) akan meneruskan penajaan sebagai penaja utama Grand Prix Formula Satu Singapura untuk tiga tahun lagi, umum syarikat penerbangan itu.
Penajaan itu akan bermula pada perlumbaan tahun ini yang akan kembali dalam kalendar Formula Satu selepas tidak diadakan selama dua tahun ekoran penularan pandemik Covid-19.

SIA pada awalnya menandatangani kontrak penaja utama pada 2014 untuk empat tahun menggantikan Singtel yang kemudiannya melanjutkannya selama dua tahun pada 2018 dan sekali lagi pada 2020.
Pengumuman lanjutan kontrak ini diumumkan oleh Naib Presiden Eksekutif Komersil SIA Lee Lik Hsin dan Pengarah Urusan Komersil F1, Brandon Snow.
“Perlumbaan Grand Prix Singapura tahun ini sangat dinanti-nantikan dan sekali lagi akan menjadi aras baharu buat Singapura, menandakan kembalinya acara sukan antarabangsa ke negara ini selepas dua tahun terganggu akibat pandemik.
“Perlumbaan ini pastinya akan disambut mesra oleh penduduk Singapura dan juga para pengunjung. Ianya sekaligus akan meningkatkan reputasi Singapura sebagai bandar raya global,” ujar Lik Hsin.

Lanjutan penajaan ini juga adalah isyarat dari SIA untuk meneruskan sokongan terhadap pelancongan dan sukan serta sebagai penghubung untuk perluasan rangkaian global kami. Ia juga akan membantu Singapura untuk kembali pulih sebagai hab penerbangan antarabangsa.
“Kami gembira Singapore Airlines akan terus menjadi penaja utama Grand Prix Singapura untuk tiga tahun lagi. Perlumbaan ini adalah perlumbaan malam yang pertama diadakan dan sudah menjadi acara Formula Satu ikonik yang digemari oleh penonton dan pelumba.
“Kini kembali selepas dua tahun tidak diadakan, perlumbaan tahun ini akan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui d dengan bahan yang lebih mampan. Ia juga sejajar dengan komitmen Singapore Airlines terhadap penggunaan bahan api yang lebih mampan dalam usahan mengurangkan impak terhadap persekitaran,” jelas Snow.

Grand Prix Singapura tahun ini akan berlangsung pada 2 Oktober di Litar Marina Bay dengan kapasiti penuh penonton dijangka hadir untuk menghangatkan lagi perlumbaan pada sebelah malam ini.