KERAJAAN Negeri Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) XXII mengesahkan cadangan untuk mempertandingkan tiga sukan tambahan iaitu muaythai, petanque dan silambam.

Cadangan itu diumumkan selepas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 5 Ogos lalu dan akan dibentangkan kepada jawatankuasa sama yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Cadangan ini bukti komitmen kami untuk memperluas penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan dari akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA, Mohd Najwan Halimi dalam kenyataan media yang diedarkan.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin bin Shari semalam, turut meneliti rayuan beberapa persatuan sebelum bersetuju membawa usul tambahan itu ke peringkat pusat.

Bagaimanapun, pengesahan akhir tertakluk kepada persetujuan semua wakil negeri dan perlu dimuktamadkan sebelum atau pada 15 Ogos 2025.

Dalam masa sama, Mohd Najwan menyeru semua pihak menghentikan usaha mempolitikkan sukan dengan memainkan sentimen perkauman kerana sukan adalah medan perpaduan.

Katanya, Selangor komited memastikan penganjuran SUKMA 2026 berjalan lancar demi melahirkan lebih ramai atlet pelapis negara menuju Olimpik Los Angeles 2028.