TEAM Vamos menang mudah ke atas pasukan dari Arab Saudi, Falcons Mena dalam saingan Mid-Season Cup X Esports World Cup 2026 di Paris Expo Porte de Versailles, semalam.

Pasukan dari Malaysia ini terus mengibar panji kemenangan selepas menewaskan lawan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A.

Pemain Jungler Team Vamos, Error404 menyatakan rasa lega setelah selesai perlawanan kerana berjaya mematikan perlawanan dengan kemenangan tidak berbalas.

“Kami sangat lega dan gembira sebab kita dapat tutup perlawanan dengan bersih dan konfiden kami 10/10,” kata Error404.

Turut mencuri tumpuan apabila Team Vamos memilih hero Eudora di posisi mid lane dalam perlawanan pembukaan ini.

“Saya rasa kami dapat pemilihan ini hasil ini daripada ‘scream’ jadi kami mula berlatih dan menggunakannya hari ini.

“Sekarang, Eudora merupakan hero pilihan ‘meta’ semasa,” tambah Error404.

Beliau turut berpesan kepada pasukan lain supaya berjaga-jaga dan jangan memandang rendah terhadap mereka kerana masih banyak strategi yang belum digunakan.

Selain itu, juara MPL MY, Selangor Red Giants (SRG) akan menghadapi perlawanan pembukaan mereka menentang Pro Esports pada jam 5 petang nanti.