STADIUM Majlis Perbandaran Temerloh dilaporkan akan kekal menjadi venue tuan rumah Sri Pahang FC sehingga akhir musim ini.

Sebelum ini, Temerloh terpilih sebagai ‘home’ stadium untuk Tok Gajah beberapa minggu sebelum saingan liga bermula untuk menggantikan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Perkara ini disebabkan Stadium Darul Makmur akan menjalani proses naiktaraf dari segi sistem pengaliran dan rumput baharu yang bakal menjadikan stadium ini berwajah baharu kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohamed Suffian Awang telah mengesahkan perkara itu apabila ditemubual oleh media.

”Kita telah menetapkan bahawa Stadium Majlis Perbandaran Temerloh akan menjadi venue sepanjang musim kali ini,” katanya dipetik menerusi sebuah televisyen swasta.

Hidalgo menjaringkan gol pertama untuk Sri Pahang musim ini.

Kali terakhir Sri Pahang FC menggunakan Stadium MP Temerloh sebagai gelanggang tuan rumah ialah ketika musim 2012, ketika itu Sri Pahang beraksi di Liga Premier.

Sabtu lalu stadium ini telah digunakan secara rasmi untuk saingan Liga Malaysia 2024/25, dengan Sri Pahang FC berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC dengan keputusan 1-0.