BIARPUN gagal meneruskan hari cemerlang negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tetap berpuas dengan pencapaian ke suku akhir Terbuka Malaysia 2025 terutamanya, selepas prestasi tidak konsisten sepanjang tahun lalu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, pasangan nombor 24 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 26-24, 21-15.
Ee Yi berkata, kelebihan beregu lawan dari segi fizikal selain kemampuan untuk melakukan serangan demi serangan sehingga mereka gagal keluar dari perangkap samar lawan.
“Walaupun kalah set pertama tetapi ia tidak ganggu momentum kerana set kedua kami berjaya mendahului terlebih dahulu. Bagaimanapun, selepas 11 mata, mereka menukar strategi dan masuk depan (mengawal depan jaring).
“Serangan mereka sangat padu, ditambah pula dengan fizikal yang tinggi, jadi kami tidak boleh banyak angkat bola (bulu tangkis). Kami cuba tidak buat pukulan tinggi tetapi mereka lebih baik,” katanya, selepas tamat perlawanan.
Kali terakhir beregu lelaki negara melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia adalah menerusi dua gandingan terbaik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada 2022.
Dalam pada itu, Goh V Shem-Lim Khim Wah muncul pemain beregu lelaki negara yang terakhir memenangi kejohanan ini ketika menewaskan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-19, 21-18 pada edisi 2014.