MAN Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi wakil ketiga negara menempah tiket ke separuh akhir badminton Terbuka Malaysia.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berdepan masalah menundukkan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung 31 minit.

Semangat membara mereka dipamerkan dari awal set pertama sambil diiringi sorakan bergemuruh lebih 10,000 penonton yang membanjiri di Axiata Arena.

Kai Wun yang ditemui selepas perlawanan berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan itu apabila turun di separuh akhir esok seterusnya mara ke pentas akhir.

“Setakat ini, kami tak puas hati sangat tapi kami tetap berusaha untuk bagi tentangan dalam setiap kejohanan dan dapatkan keputusan yang baik.

“Esok, kami akan cuba untuk terus fokus dan menang perlawanan. Kami akan bincang apa yang perlu dilakukan dan yang penting adalah saling mempercayai satu sama lain,” kata Kai Wun.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun bersemangat menghadapi perlawanan separuh akhir.

Kemenangan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mencatatkan kemenangan kedua berturut ke atas wakil Perancis itu yang kali terakhir dikalahkan mereka di Kumamoto Masters tahun lalu.

Ia adalah kejayaan pertama buat beregu di ranking ke-14 negara layak ke separuh akhir Terbuka Malaysia yang bertaraf Siri Super 1000 itu.

Ia adalah pencapaian terbaik buat Wei Chong-Kai Wun yang hanya beraksi di pusingan pertama sejak 2022 di Terbuka Malaysia sebelum ini.

Menanti mereka adalah beregu di ranking ke-18 dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang menang ke atas beregu England, Ben Lane-Sean Vendy 21-17, 21-17.

Di atas kertas, pertemuan memihak Wei Chong-Kai Wun yang mendahului rekod pertemuan 1-0 selepas menang ke atas Bo Yang-Liu Yi di Kejohanan Badminton Asia tahun lalu.