AARON Chia-Soh Wooi Yik dituntut lebih bijak dalam membuat keputusan ketika berada di gelanggang, dan mengelak daripada masuk ke dalam perangkap lawan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, sebagai gandingan nombor empat dunia, kepantasan berfikir dan membuat keputusan amat memainkan peranan.
“Aaron-Wooi Yik perlu lebih kuat hati dan lebih bijak. Mereka tidak boleh terlalu mudah diganggu dalam perubahan permainan lawan,” kata Rexy mengulas mengenai prestasi pasangan itu dalam dua kejohanan terakhir mereka, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mahu Aaron-Wooi Yik lebih bijak membuat keputusan dalam gelanggang.
Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia masih gagal dalam misi memburu kejuaraan pertama dalam saingan Jelajah Dunia dan terbaharu, kecundang di pusingan kedua Terbuka Korea dan suku akhir di Terbuka Jepun.
Namun mereka berpeluang menebus kehampaan apabila beraksi di Terbuka Australia yang bermula esok.
Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan memulakan cabaran menentang pasangan yang layak daripada pusingan kelayakan.
Rexy turut mengulas prestasi satu lagi pasangan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, dan menganggap gandingan itu memerlukan masa untuk kembali mencapai kemuncak prestasi mereka sejak kembali digandingkan selepas lima bulan berpisah.

Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani bergandingan semula demi Olimpik Paris.
Katanya, kedua-dua pemain menunjukkan perkembangan positif berdasarkan aksi dalam tiga kejohanan awal apabila muncul juara Terbuka Amerika Syarikat dan mara ke akhir Terbuka Korea sebelum terkandas di pusingan kedua Terbuka Jepun.
“Saya tengok Izzuddin-Sze Fei bermain cukup baik dan menunjukkan peningkatan prestasi yang positif. Cuma, mereka perlu sedikit masa untuk menjadi lebih baik lagi sejak kembali digandingkan,” kata Rexy.
Izzuddin-Sze Fei turut akan beraksi di Terbuka Australia dan mereka akan membuka tirai saingan menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.