SELEPAS mempamerkan aksi cemerlang dalam tiga perlawanan Terbuka India sebelum ini, hasrat Pearly Tan-Thinaah Muralitharan untuk mara ke pentas akhir disekat gandingan ranking kedua dunia dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida apabila terpaksa akur tewas straight set 21-14 21-16.
Pada set pertama, gandingan negara yang diletakkan selaku pilihan kelapan bermula baik apabila mampu menandingi ketangkasan gandingan Jepun itu.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila Pearly-Thinaah kerap melakukan kesilapan sekaligus menyaksikan mereka tumbang 14-21.
Bersambung set kedua, Pearly-Thinaah cuba memperkemas serangan dengan kerap menggunakan smash kencang namun ianya telah dibaca gandingan dari Jepun itu apabila mudah menghalakan bulu tangkis di sudut penjuru gelanggang lalu tewas 16-21.
Kegagalan tersebut juga menyaksikan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan gagal mengulangi rekod cemerlang mereka mengejutkan pasangan dari Jepun itu dalam Terbuka Perancis 2022.