PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao yang tersingkir awal pada saingan Terbuka Malaysia minggu lalu, melakukan kejutan besar apabila menyingkir pemain pilihan dari China, Li Shi Feng di pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India pada Selasa.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-28 dunia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya, apabila bangkit dari kekalahan set pertama sebelum mengatasi Shi Feng yang berada di ranking keenam dunia.

“Pada set pertama, saya rasakan kurang ‘ghairah’ dalam permainan, jadi saya cuba mendapatkannya pada dua set selepas itu.

“Dia seorang pemain yang bagus dari segi fizikal dan juga pukulan-pukulannya, apapun saya gembira dengan kemenangan pertama ini,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Leong Jun Hao berjaya bangkit dari kekalahan awal Terbuka Malaysia minggu lalu.

Dia mengatasi Shi Feng 18-21, 21-17, 21-17 dalam masa 78 minit menang kali pertama dalam 5 pertemuan.

Kemenangan itu membolehkannya menempah pertemuan dengan Weng Hong Yang juga dari China, yang kini berada di kedudukan ke-21 dunia.

Pada Terbuka Malaysia minggu lalu, Shi Feng kandas di separuh akhir, sementara Jun Hao tersingkir di pusingan pertama apabila tewas kepada seorang lagi pemain China, Lu Guang Zu.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mengatasi pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-15, 21-16 dalam masa 32 minit.

Menantinya di pusingan kedua sama ada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau atau gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

“Baru tiba semalam jadi perstasi kami hari ini memuaskan… kami perlu serasikan diri dengan cuaca dingin.

“Kami masih bergelut dengan mental di gelanggang tetapi kami tahu perlu mengekalkan tahap kecergasan fizikal,”

Turut mengesahkan dua pasangan beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King dan juga Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sze Fei-Nur Izzuddin ke pusingan kedua selepas mengatasi rakan senegara, Nur Azryn Ayub-Tan Wee Kiong 21-16, 21-16 dalam masa 41 minit.

Gandingan Arif-Roy King pula menewaskan pasangan Jerman, Daniel Hess-Marvin Seidel 21-11-21-8 dalam tempoh 28 minit.

Arif-Roy King akan berdepan Sze Fei-Nur Izzuddin pada pusingan kedua nanti.