RATU berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menepati ramalan apabila merangkul pingat emas pada hari pembukaan Siri Piala Presiden (Selasa).

Namun,gadis kelahiran Kedah itu bukan satu-satunya yang menarik perhatian, malah aksi cemerlang pelumba muda, Nurul Alyssa Farid, turut mencuri tumpuan di Velodrom Nasional, Nilai.

Izzah, 21, memenangi perlumbaan pembukaan acara pecut individu wanita apabila menewaskan pelumba Korea Selatan, Kim Haeun, dalam perlumbaan pertama.

Namun, kesilapan taktikal menyebabkan dia tewas dalam perlumbaan kedua.

Nurul Izzah memerhati pergerakan pelumba Korea Selatan, Kim Haeun pada final acara pecut wanita.

Tidak mahu mengulangi kesilapan, Izzah bangkit dalam perlumbaan ketiga untuk memastikan kemenangan emas negara.

“Hari ini agak sukar kerana pelumba Korea sangat berpengalaman dan kuat. Saya agak lewat membuat serangan dalam perlumbaan kedua, tetapi selepas berbincang dengan jurulatih, kami berjaya memperbaiki strategi dan memenangi perlumbaan ketiga.

“Saya gembira dengan prestasi ini, terutamanya kerana saya masih berada dalam fasa latihan berat dan tidak membuat persiapan khusus untuk kejohanan ini,” kata Nurul Izzah.

Nurul Alyssa Farid mengejar Kim Soohyun sebelum memenangi pingat gangsa acara pecut wanita.

Pingat gangsa pula menjadi milik Alyssa yang menewaskan seorang lagi pelumba Korea Selatan, Kim Soohyun, dengan keputusan 2-0 dalam perebutan tempat ketiga.

Kejayaan itu membolehkan Alyssa meraih pingat pertama dalam kejohanan di peringkat senior antarabangsa.

Izzah turut memuji prestasi Alyssa yang semakin meningkat.

“Alyssa telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan masa kelayakannya hampir sama dengan saya (bawah 11 saat). Dia semakin kuat, berani mencuba perkara baharu, dan sangat bersemangat. Saya yakin dia mampu memberi saingan hebat kepada saya tidak lama lagi, malah kami berdua mungkin akan layak ke Olimpik bersama,” kata Izzah.

Percaturan Ridwan menjadi apabila berjaya mengalahkan Fadhil pada penentuan pingat gangsa acara pecut lelaki.

Alyssa, 19, kini berada dalam skuad pelapis kebangsaan dan pernah memecahkan dua rekod remaja kebangsaan serta layak ke final keirin pada Kejohanan Remaja Dunia di China tahun lalu.

Sementara itu, dalam acara pecut individu lelaki, Ridwan Sahrom terus mengukuhkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan apabila menewaskan rakan sepasukan, Fadhil Zonis, 2-0 pada perebutan gangsa.

Pingat emas dimenangi Sam Gallagher dari Australia yang mengalahkan Bae Junhyeong dari Korea Selatan dengan keputusan 2-0.

“Ini adalah permulaan positif untuk tahun ini, dan saya berharap dapat mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Esok ada acara keirin, dan saya berharap dapat mara ke final dan mencabar untuk pingat lagi. Walaupun saingan sengit dengan kehadiran pelumba seperti Gallagher dan pelumba Korea, saya akan cuba yang terbaik,” kata Ridwan.

Posisi pelumba nombor dua dalam skuad lelaki kini terbuka di belakang Shah Firdaus Sahrom, memandangkan Azizulhasni Awang sedang memberi tumpuan kepada pengajian.

Dalam acara endurance trek, Nur Aisyah Zubir memenangi gangsa dalam acara omnium wanita.

Pingat emas dimenangi oleh Valencia Tan dari Singapura, manakala Shin Jieun dari Korea Selatan meraih perak.

Hari terakhir Siri Satu Piala Presiden esok akan menampilkan acara keirin lelaki dan wanita, yang dijangka menyajikan saingan sengit.