NASIB bagaikan tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei apabila sekali lagi kandas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Kekejangan perut yang ialami, menyaksikan dia bertarung dalam kesakitan sebelum tunduk kepada lawan dari India, Malvika Bansod.

“Sewaktu perlawanan tadi, ada rasa (kejang perut) dan saya tahan sakit itu, kerana sudah biasa terjadi. Selepas tamat perlawanan… rasa sakit bertambah teruk.

“Tapi selepas melakukan pemeriksaan doktor, kesakitan itu beransur pulih. Cuma itu sedikit sebanyak mengganggu mental saya dalam perlawanan juga,” kata Jin Wei.

Selepas tewas 15-21, 16-21, Jin Wei kelihatan dalam kesakitan seolah-olah mengalami kecederaan serius sehingga dibawa ke bilik pemeriksaan sambil disorong menggunakan kerusi roda.

Untuk rekod, pemain berusia 25 tahun itu pernah bergelut kesakitan di bahagian perut sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya pada pertengahan 2019.