TANPA sasaran ditetapkan jurulatih di saingan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 minggu hadapan, pemain beregu negara Goh Tze Fei menetapkan matlamat untuk sekurang-kurangnya mara ke final.
Pemain yang pada asalnya bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani itu akan beraksi bersama pemain junior, Goh Boon Sze pada saingan bermula 13 hingga 18 Disember ini.
“Sudah mula bergandingan sejak tiga minggu lalu,dan dari segi keserasian, saya cuba bekerjasama dengannya.
“Paling utama jurulatih mahu saya lebih bertanggungjawab untuk cuba dapatkan sesuatu (keputusan),” kata Sze Fei selepas tamat latihan pada Selasa.
Sejak minggu lepas, dia tidak dapat menjalani latihan bersama Boon Sze kerana kebanyakan pemain junior mengambil bahagian di Cabaran Antarabangsa Bahrain yang berakhir kelmarin.
“Sementara waktu, saya jalani latihan dan persiapan sendiri dan saya harap, sebagai senior, saya boleh jadi lebih bertanggungjawab dan dapat memimpin dia (Boon Sze).
“Mungkin bimbing dia ketika dia hilang punca atau kehabisan idea,” tambah Sze Fei.
Dia enggan terlalu memikirkan soal pertukaran pasangan beregu, sebaliknya menganggap pertukaran pasangan di kejohanan kecil sebegini sebagai pengalaman baru, untuk memberi nafas baru dalam gandingan bersama Izzuddin.
Selain Sze Fei, Izzuddin juga digandingkan dengan Mohd Haikal Nazri.
Keputusan menukar gandingan ini dibuat Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky bagi memberi kesegaran kepada pemain, selain mahu Malaysia merangkul kejuaraan di bumi sendiri.
Cabaran Antarabangsa Malaysia akan berlangsung di Ipoh, Perak.