SELEPAS tampil buruk di Malaysia Masters, Ng Tze Yong mempamerkan permainan memukau di Terbuka Thailand pada Khamis.

Pemain berusia 23 tahun itu mengejutkan pilihan utama dari Taiwan Chou Tien Chen untuk mara ke suku akhir ketiganya dalam Jelajah Dunia tahun ini.

Pada aksi Pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamak, Tze Yong melakar kemenangan luar biasa 23-21, 23-21 ke atas pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lepas di Bangkok.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat anak kelahiran Johor Bahru menentang pemain nombor 7 dunia, Tien Chen selepas tiga pertemuan. Kali terakhir mereka bertembung adalah pada peringkat lapan terakhir Terbuka Switzerland pada Mac.

Menanti Tze Yong di suku akhir esok adalah pemenang dalam satu lagi aksi pusingan kedua membabitkan pemain pilihan kelapan kejohanan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Sementara itu, pemain kelayakan Leong Jun Hao juga mara selepas menang 20-22, 21-13, 21-19 menentang pemain nombor 36 dunia Perancis Christo Popov dalam pertarungan selama 76 minit.

Malangnya, cabaran Malaysia dalam beregu campuran berakhir berikutan penyingkiran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Soon Huat-Shevon tewas 21-13, 21-17 kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong , manakala Tang Jie-Ee Wei kehabisan tenaga sehari selepas mengecewakan pemain No. 5 Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, akur 21-23, 21-17, 21-11 kepada Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun.

Peng Soon-Yee See turut ditunjukkan jalan keluar dengan kekalahan 21-13, 21-17 kepada pilihan kelima Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.