BEKAS penyerang skuad hoki kebangsaan, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meluahkan rasa syukur dan gembira apabila menjadi salah seorang penerima insentif skim persaraan daripada Yayasan Hoki Malaysia (YHM).
Izwan, pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010 menganggap insentif bernilai RM19,040 ini sebagai satu penghargaan buat dirinya selepas meraih 153 caps antarabangsa bersama Speedy Tigers dari 2009 hingga 2017.
“Syukur Alhamdulillah atas penghargaan ini yang serba sedikit dapat membantu bekas-bekas pemain hoki negara apabila sudah bersara. Sebagai bekas pemain, keringat semasa bermain hoki dari segi latihan, masa dan pengorbanan buat pasukan kebangsaan, pemberian insentif ini adalah sedikit penghargaan terhadap jasa kita buat negara,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Insentif Bekas Pemain-Pemain Hoki di Putrajaya.
Pencapaian tertinggi Izwan ketika bersama Speedy Tigers adalah membantu Malaysia layak buat pertama kali ke pentas final Sukan Asia 2010 di Guangzhou yang menyaksikan Malaysia meraih pingat perak.
Selain Izwan, tiga bekas pemain hoki kebangsaan turut menerima insentif itu iaitu Baljit Singh Charun Singh sebagai penerima tertinggi bernilai RM41,840 serta Joel Samuel Van Huizen dan P. Prabhakaran masing-masing menerima RM10,400.
Majlis penyampaian insentif itu turut dihadiri ahli-ahli lembaga pengarah Yayasan Hoki Malaysia termasuk pengerusinya, Tan Sri Raja Aman Raja Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah jelas gembira dan mengucapkan syabas dengan inisiatif yang diwujudkan YHM ini dan diharap lebih banyak persatuan sukan lain dapat mewujudkan yayasan sendiri bagi menjamin kebajikan atlet apabila bersara.
“Syabas kepada Yayasan Hoki Malaysia, jika kita lihat kepada penyerahan cek tadi, jumlah bantuan diberi bukannnya kecil namun agak substantif. Inisiatif ini mampu menarik anak-anak muda untuk menceburi bidang sukan kerana menyedari terdapat yayasan sedikit sebanyak berupaya menjaga kebajikan mereka selepas bersara kelak,” jelas Hannah.
YHM yang ditubuhkan pada 20 Mac 1992 di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah adalah untuk mentadbir dana yang diterima untuk tujuan promosi, pembangunan dan kemajuan sukan hoki termasuk menjaga kebajikan pemain-pemain hoki Malaysia.
Sejak 1993 hingga 2020, YHM telah memberi bantuan kewangan seperti biasiswa berjumlah RM423,307 untuk 26 pemain, faedah persaraan bernilai RM1.15 juta buat 60 pemain dan kos perubatan serta pengebumian sebanyak RM20,000 kepada empat pemain.