KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui pemainnya kini berada dalam momentum terbaik untuk melakar kejutan menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G Piala AFC pada Rabu.

Terengganu yang kembali ke saingan bola sepak Asia selepas 12 tahun akan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan jurulatih kelahiran Croatia itu menyifatkan prestasi terbaik pasukannya yang masih belum tewas sejak lebih tiga bulan lalu menjadi pemangkin semangat mereka di peringkat Asia.

Pengendali itu juga mengakui mereka sudah bersedia dengan strategi lebih ampuh bagi memastikan pemain naib juara Liga A Australia kendalian Abbas Saad itu tidak dapat bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.

“Kali terakhir kami tewas adalah kepada Johor Darul Ta’zim 9 Jun lalu iaitu lebih tiga bulan lalu dan saya bangga kerana ia adalah momentum yang baik untuk pasukan kami malah keyakinan pemain juga berada pada tahap yang tinggi.

“Kami mempunyai cabaran yang baik dalam setiap perlawanan dan pasukan kami akan cuba memperagakan aksi terbaik lebih 100 peratus menentang pasukan lawan yang sangat bagus,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Kuala Terengganu.

Tomislav juga mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan taktikal pihak lawan terutama purata saiz fizikal pasukan itu lebih tinggi berbanding pemainnya.

 

“Saya menonton perlawanan dalam Liga Australia, mereka adalah pasukan yang sangat bagus, kelihatan kuat dan mereka bermain sangat mudah. Tetapi apabila anda bertanya tentang ‘set piece‘ permainan, ia adalah sebahagian daripada permainan kami.

“Kami akan melihat bagaimana pemain bersedia untuk bertarung dengan mereka dalam elemen penguasaan bola tetapi saya ingatkan pemain, mereka juga perlu lebih berwaspada,” tambahnya.

Kesemua pemain Terengganu juga bebas dari kecederaan kecuali pertahanan tengah importnya, Sardor Kulmatov yang masih belum cergas sepenuhnya.