PENYOKONG tegar sukan Malaysia, Mansor Abdul Khoni atau lebih segar dengan panggilan ‘Tokmo’ nyata agak kecewa dengan kekalahan yang menimpa Lee Zii Jia dalam aksi mendebarkan menentang perseorangan ranking ke-7 dunia dari Jepun, Kodai Naraoka.

Dalam Kejohanan Terbuka Malaysia edisi lalu, Zii Jia turut tersingkir seawal pusingan kedua ketika berdepan lawan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dalam pertarungan tiga set 21-19 19-21 21-16.

“Saya kecewa sedikit sebab Lee Zii Jia kalah dengan pemain Jepun (Kodai Naraoka). Kejohanan lepas juga Zii Jia kalah dengan pemain Indonesia (Shesar Hiren Rhustavito),” ujar Tokmo kepada FLASH SUKAN ketika ditemui di perkarangan Stadium Axiata Arena.

Bagaimanapun, Tokmo kini mengharapkan badi kekalahan Zii Jia dapat ditebus perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong yang diletakkan harapan untuk membenam cabaran wakil Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan kedua.

“Kita ada seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong. Jadi,  mungkin dia boleh menang dengan pemain Jepun itu,” katanya.

Selain itu, sandaran Tokmo turut terarah kepada gandingan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik agar terus memberi cabaran setelah mempamerkan aksi bertenaga dalam pertarungan rubber set menewaskan pasangan ranking ke-17 dunia dari China, 21-16 11-21 17-21.

“Aaron Chia-Soh Wooi Yik main bagus, InshaAllah kita mungkin akan mara ke separuh akhir.

“Tahun ini kita mahukan perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran merangkul kejuaraan, kongsinya.

Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan gandingan dari China, Liu Yu Chen- Ou Xuan Yi yang menyaksikan dua pertemuan lepas memihak kepada pasangan China yang kini menghuni ranking ke-6 dunia.