BIARPUN tersingkir dari Kejohanan Dunia seawal pusingan pertama, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia lega kerana tidak mendapat kecederaan baharu.
Tampil kali pertama di pentas kompetitif selepas enam bulan, Zii Jia menerima seadanya kondisi diri, biarpun tewas 17-21, 11-21 kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin.
Namun, baginya, kepuasan sebenar hadir apabila dia mampu mengharungi aksi sulungnya selepas melalui proses pemulihan panjang yang penuh dengan dugaan dan kesabaran.
“Seperti yang saya katakan, saya gembira dapat menyelesaikan perlawanan pertama tanpa sebarang kesakitan dan tanpa sebarang kecederaan, itu yang paling penting,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas tamat perlawanan.

Selepas enam bulan berehat tanpa perlawanan kompetitif, sememangnya sukar untuk Lee Zii Jia terus memuncak di Kejohanan Dunia di Paris.
Mengakui enam bulan sebelum ini cukup sukar, Zii Jia mendedahkan dia pernah berasa terdesak untuk kembali berlatih, malah keliru dengan proses pemulihan yang perlahan dan membosankan.
“Ini pengalaman pertama saya berdepan situasi seperti ini, saya masih belajar dan saya gembira akhirnya berjaya melaluinya,” ujarnya yang menilai prestasi dirinya pada tahap lima daripada 10.
“Buat penyokong saya, bersabarlah, bukan sahaja untuk anda tetapi saya juga mahukan kemenangan kerana saya percaya saya mampu kembali ke tahap asal saya,” tambah Zii Jia.
Dalam masa sama, kejutan turut berlaku di pusingan pertama apabila pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng turut tersingkir selepas tewas 21-19, 11-21, 15-21 kepada Yushi Tanaka dari Jepun.