PASUKAN bola sepak bawah tujuh tahun (B-7) TFFC Malaysia mencipta sejarah apabila menjuarai Thailand International Youth Cup 2024 kategori B-7 yang berlangsung di Pattaya, baru-baru ini.
Kejohanan ini menyaksikan penyertaan 134 pasukan dari 11 negara, menjadikan kemenangan ini amat bermakna.
Pasukan yang berpangkalan di Damansara ini dibarisi sebelas pemain muda berbakat berusia tujuh tahun, iaitu Thariq Hadid (Ketua Pasukan), Muhammad Aniq Darwisy, Ibrahim Zidan, Amar Hasan, Muhammad Aqiel Zhafran, Muhammad Aqiel Zhariff, Mariam Sabrina, Mohamad Faiq Iskandar, Fahad Nazhan, Afeef Aldric, dan Aali Harraz.
TFFC memulakan kempen dengan kemenangan persahabatan 5-1 menentang Planet Football Academy Pattaya (B-8) pada 5 Disember.
Kejayaan ini membantu pasukan menyesuaikan diri dengan cuaca dan gaya permainan antarabangsa yang pantas dan sistematik.
Dalam kejohanan sebenar, TFFC Malaysia menunjukkan aksi cemerlang tanpa kalah dari peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan akhir.
Pertahanan pasukan kekal kukuh sepanjang kejohanan dengan hanya melepaskan satu gol melalui penalti menentang Boas FC (Hong Kong).
Di peringkat kumpulan, TFFC Malaysia mencatat lima kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan besar 7-0 ke atas OAZ (Thailand) dan 6-0 ke atas PBIS (Filipina) menjadikan rekod ini melayakkan mereka ke pusingan seterusnya.
Pada hari kedua, selepas dua keputusan seri tanpa jaringan menentang Sailors FS (Singapura) dan Boas FC (Hong Kong), TFFC kembali bangkit dengan kemenangan meyakinkan ke atas Coerver (Singapura), Bangkok Football Academy (Thailand), dan Makati (Filipina), sekaligus mara ke perlawanan akhir untuk sekali lagi berdepan dengan Boas FC.
Di perlawanan akhir, TFFC mengekalkan momentum dengan kemenangan 1-0 ke atas Boas FC, hasil jaringan Muhammad Aqiel Zhariff yang menerima hantaran cantik daripada Aali Harraz.
Kejayaan ini didukung oleh strategi jurulatih, En. Hariri Mohamed Azmi dan Mohd Afiq Abdul Hakim, serta pemantauan sains sukan oleh Cik Afryna Batrisyia dari Universiti Teknologi MARA.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa negara kita memiliki bakat muda yang hebat. Latihan sistematik dengan pendekatan sains sukan yang berkesan, penyertaan konsisten di peringkat
antarabangsa, serta sokongan kerajaan dan korporat adalah kunci kejayaan ini,” kata Pengarah Komunikasi TFFC Malaysia, Puan Lynn.
Pasukan TFFC Malaysia bukan sahaja membawa pulang piala kejuaraan, tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.