KEMENTERIAN Belia dań Sukan (KBS) akan memberikan fokus kepada usaha membaik pulih kemudahan sukan yang ada berbanding membina stadium baharu di mana-mana negeri.

Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan, pertindihan acara yang dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum ini yang sering menghadapi kekangan juga bukanlah alasan untuk membolehkan stadium (venue) baharu dibina.

Tegasnya lagi, pihaknya ketika ini lebih mementingkan untuk menaik taraf stadium termasuk membaik pulih venue sukan lain bagi memastikan tidak berdepan sebarang masalah apabila mengadakan sebarang acara sukan.

“Kita lihat bukan sahaja stadium utama tapi kami nak pastikan tanggungjawab kerajaan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama membina sukan.

“Keutamaan kami bukan asyik membina, tapi kami nak tahu bagaimana untuk uruskan naik taraf dan seliaannya.

“Pada masa sama, kami tiada rancangan untuk asyik bina stadium. Kalau tengok di negeri lain, asyik bina stadium ketika Sukma (Sukan Malaysia) tapi penyeliaannya agak sukar.

“Jadi kami tiada perancangan untuk terus membina (stadium) dan lebih baik gunakan venue sedia ada,” katanya.

Isu pertindahan penggunaan timbul selepas skuad Harimau Malaya terpaksa ‘mengalah’ dengan konsert Chou untuk perlawanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sehingga skuad kebangsaan ‘kehilangan’ 21,000 penyokong.