PERJALANAN pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh terhenti di pusingan 32 selepas terpaksa akur dengan kekalahan di dalam Perodua Malaysia Masters 2026.

Perlawanan dramatik antara Jun Hao dan pemain wakil dari China, Hu Zhe An berakhir dengan kekalahan straight set dengan 21-19 dan 23-21.

Pemain ranking 25 dunia itu berkata beliau sudah cuba habis-habisan untuk memenangi perlawanan ini namun pihak lawan dapat membalas serangan dengan baik.

“Saya rasa saya bermain tidak terlalu buruk tetapi apabila saya cuba mengatasi, dia masih mendapat mata,” tambahnya ketika ditemu ramah selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Justin juga terpaksa menelan pahitnya kekalahan selepas tumpas di tangan wakil Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dengan straight set 21-16 dan 21-14.

“Saya rasa pihak lawan sangat bagus, semua orang tahu dia sangat berpengalaman dan ini merupakan kali pertama saya kali pertama berlawan dengan dia.

“Saya rasa ini merupakan satu proses yang baik kerana semua pihak lawan saya berada dalam ranking yang lebih tinggi tetapi saya akan tetap terus berjuang,” tambahnya.

Selepas ini, Jun Hao mahu memperbaiki prestasi untuk mendapat rentak bagi menghadapi Terbuka Indonesia di Jakarta pada 2 hingga 7 Jun ini.

Manakala, Justin juga mahu bersiap sedia dan mencari rentak permainan untuk bertanding dalam Terbuka Singapura 26 hingga 31 Mei ini dan Terbuka Australia 9 hingga 14 Jun ini.