INSIDEN hilang pedoman dan layangan kad merah ketika menentang PDRM FC akan segera dilupakan kapten pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott menjelang pertemuan pusingan pertama Piala FA berdepan Penang FC di Alor Setar, pada Rabu malam.
Jelasnya, kesilapan sama cuba dielakkan berulang lagi dan dirinya mengambil pengajaran ketika tewas mengejut 0-1 kepada PDRM.
Kini, tumpuannya terarah kepada kebangkitan dalam memastikan Sang Kenari layak ke pusingan seterusnya di pentas Piala FA musim ini.
“Tempoh hari menentang PDRM memang perlawanan yang agak penuh dengan emosi tetapi akhirnya ia menjadi tanggungjawab kita untuk tetap fokus aksi seterusnya dan kita cuba untuk raih kemenangan lawan Penang nanti.
“Bagi saya, ini baru permulaan musim dan dengan pemain baharu, falsafah baharu sudah tentu ia bukan mudah dan kita sedang berusaha untuk memberikan segalanya di atas padang.
“Untuk Piala FA ini, ia tetap bukan mudah tidak kira dengan siapa pun kita lawan dan fokus kami adalah terhadap pasukan sendiri, jadi yang penting adalah kita tidak mahu lagi melakukan kesilapan yang sama ketika lawan PDRM,” kata pemain tengah berusia 31 tahun itu.

Manuel Ott hilang pedoman ketika bertemu PDRM dalam saingan penuh tegang dan berintensiti.
Dia juga positif Kedah masih di landasan yang tepat untuk memburu kemenangan dalam aksi seterusnya dan bersedia memperbaiki kelemahan sambil menyifatkan Penang merupakan lawan yang tidak boleh diambil mudah.
Bekas pemain Terengganu FC itu dibuang padang pada minit-59 aksi Liga Super semasa menentang PDRM FC menyaksikan suasana perlawanan yang lebih tertekan sebelum Kedah tewas 0-1.
Tetapi, katanya, saingan Piala FA diharapkan dapat dirasai penuh positif antara penyokong di Stadium Darul Aman meskipun faham kekecewan dengan kekalahan.
“Saya sentiasa katakan yang penyokong-penyokong di sini sentiasa hebat dan mereka sanggup datang ke stadium bukan untuk dikecewakan dengan kekalahan.
“Tetapi macam saya cakap, ini baru permulaan musim dan kami tetap tidak mengalah untuk meletakkan pasukan di tahap terbaik, jadi hari esok sudah tentu kita ingin memberikan kegembiraan kepada penyokong semua,” katanya lagi.
Dua perlawanan pusingan pertama Piala FA akan bermula Rabu menyaksikan Penang FC berkunjung ke Stadium Darul Aman manakala Perak FC akan bertemu Sri Pahang FC di Stadium Perak.