MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah meminta laporan penuh daripada Olahraga Malaysia (MA) berhubung dakwaan atlet pecut muda, Danish Irfan Tamrin mendakwa dipaksa menarik diri daripada Sukan SEA Thailand, sekali gus menjadi fokus utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kemelut ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau dimaklumkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) sudah meminta laporan daripada Olahraga Malaysia (MA) dan jika ada salah laku, tindakan akan diambil.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu isu yang timbul ditangani secara menyeluruh.

“Dalam olahraga semuanya boleh diukur, masa, jarak, pencapaian – jadi pilih ikut merit barulah keputusan jelas dan adil,” katanya pada satu sidang media di Menara KBS, Putrajaya.

Hannah turut memberi keyakinan kepada keluarga atlet itu apabila berkata, “Ibu bapa jangan risau, siasatan sedang berjalan dan kita akan bertindak secara profesional jika wujud sebarang isu salah laku.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sebarang penghakiman tidak boleh dibuat sekadar berdasarkan laporan media sosial.

“Kita perlu dengar kedua-dua pihak dahulu dan saya yakin MSN akan buat keputusan tepat.”

Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Norhayati Karim, ketika bertemu ibu bapa Danish Irfan. | FOTO FB Olahraga Malaysia

Menjawab persoalan tahap siasatan, Hannah menjelaskan bahawa “MSN dan ISN akan menasihati KBS dalam perkara ini” dan meminta semua pihak menunggu siasatan lengkap sebelum sebarang tindakan diambil.

Insiden itu tercetus selepas laporan media tempatan mendakwa Danish diarahkan jurulatih untuk menulis surat menarik diri walaupun berada dalam kelompok empat terbaik Asia Tenggara, selain didakwa menerima tekanan susulan pendedahannya.