KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu peruntukan sedia ada dikekalkan dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentang esok.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan bajet sukan tahun depan lebih menyatukan rakyat, bukan sekadar beraksi di gelanggang.

“MOF mahu lihat sukan jadi jambatan perpaduan, bukan hanya tempat bertanding,” katanya semalam.

Beliau menegaskan KBS hanya berharap program sedia ada seperti geran padanan sukan, dana komuniti dan Rakan Muda diteruskan kerana terbukti berkesan menarik belia ke arah positif.

“Kita tak minta lebih, cuma nak teruskan yang dah bantu ramai anak muda jauh daripada masalah sosial,” katanya.

Tambahnya, fokus KBS kini pada sukan mudah diakses rakyat seperti sepak takraw dan bola jaring bagi memperluas penyertaan di peringkat akar umbi.

Beliau yakin Belanjawan 2026 esok bakal menyuntik nafas baharu sukan perpaduan selari dengan semangat Malaysia Madani.