LANDSKAP arena sukan negara memasuki era baharu apabila Telekom Malaysia memperoleh hak penamaan dua venue ikonik negara, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Putra Bukit Jalil.

Kerjasama strategik selama tiga tahun bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu menyaksikan kedua-dua venue berkenaan dijenamakan semula bermula 6 Mac lalu.

Menerusi penjenamaan baharu itu, SNBJ kini dikenali sebagai TM Stadium Nasional manakala Stadium Putra pula tampil dengan nama baharu, Unifi Arena.

Stadium Putra sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena selepas menggunakan hak penamaan oleh syarikat telekomunikasi berkenaan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia, Iliyas Jamil berkata, kerjasama hak penamaan itu adalah langkah penting memastikan dua venue utama negara terus kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, sebagai pengurus kedua-dua stadium berkenaan, PSM komited memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil yakin kerjasama itu akan dimanfaatkan untuk baik pulih stadium.

“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya dalam kenyataan media PSM hari ini.

Sementara itu, CEO Kumpulan Telekom Malaysia, Amar Huzaimi Md Deris berkata, syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan venue nasional yang begitu ikonik.

Beliau berkata selama lapan dekad Telekom Malaysia memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia dan kerjasama itu dilihat sebagai simbol sokongan kepada pembangunan sukan serta hiburan negara.

Menurutnya lagi, Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi lokasi rakyat Malaysia berkumpul untuk menyokong atlet, meraikan kejayaan dan menyaksikan pelbagai detik bersejarah negara.