KEMPEN skuad Harimau Malaya untuk Kelayakan Piala Asia 2027 menerima suntikan semangat baharu apabila Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (TMJ) berkongsi bahawa telah mengenal pasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk menyertai skuad kebangsaan.
Menurut hantaran terkini @officialjohor di laman Instagram, usaha untuk membawa masuk pemain warisan ini kini berada di landasan positif selepas beberapa siri perbincangan bersama pihak Fifa, termasuk presidennya, Gianni Infantino.
Langkah ini dijangka dapat membantu memperkuatkan skuad kebangsaan dalam persiapan mereka menjelang kempen penting pada Mac nanti.
Usaha untuk membawa pemain warisan bukanlah sesuatu yang baharu buat Harimau Malaya. Namun, ia pernah terbantut sebelum ini apabila beberapa pemain yang dikaitkan dengan Malaysia tampil menafikan mempunyai pertalian darah dengan negara ini.
Kali ini, Tunku Ismail menyatakan keyakinannya terhadap proses tersebut, dengan harapan agar kerajaan Malaysia dapat membantu mempermudahkan urusan mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain-pemain ini.
Tunku Ismail menekankan kepentingan pemain warisan ini dalam misi Harimau Malaya untuk mencipta permulaan positif pada Kelayakan Piala Asia 2027.
Kehadiran mereka akan memberikan impak besar dalam meningkatkan daya saing pasukan kebangsaan. Walaupun belum ada nama pemain yang diumumkan secara rasmi, pengumuman ini pasti menjadi topik hangat di kalangan peminat bola sepak tanah air yang ingin melihat Harimau Malaya terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Dengan hanya berbaki dua bulan sebelum perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2027, semua mata kini tertumpu kepada perkembangan seterusnya mengenai pemain warisan ini.
Adakah mereka mampu menjadi watak penting dalam usaha Malaysia kembali bersaing di pentas Asia? Sama-sama kita nantikan!