“APA ertinya status pemain bintang… anda perlu hasilkan keputusan terbaik, jika tidak boleh, bersara sahaja!”

Jelas dan terang kenyataan Pemangku Presiden (BAM), Datuk V Subramaniam ketika ditanya mengenai wujudnya pemain yang berasa mampu mengawal hala tuju badan induk badminton negara itu.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM, beliau memberi amaran kepada pemain bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya masih berterusan gagal menghasilkan keputusan seperti yang diharapkan termasuk ke atas pemain bertaraf bintang.

Menurut beliau, selepas pelaburan besar yang dilakukan badan induk itu bagi menjaga kebajikan dan mempersiapkan pemain termasuk membawa masuk jurulatih dari luar negara yang berprofil tinggi, tidak patut wujud lagi alasan untuk pemain tidak menampilkan persembahan terbaik dalam kejohanan yang disertai.

Katanya, perkara itu dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM, hari ini.

Herry Iman Pierngadi (Indonesia) muncul jurulatih terbaharu dilantik BAM, selepas Kenneth Jonassen (Denmark) dan Nova Widianto (Indonesia)

“Setiap perbelanjaan yang kita keluarkan adalah pelaburan untuk pemain termasuk membawa masuk jurulatih berprofil tinggi yang dibayar gaji lumayan. Malah, kami juga membayar pemain dengan gaji yang lumayan.

“Sudah tentu ini adalah pelaburan yang tidak boleh dibazirkan. BAM sudah melakukan yang terbaik, jadi giliran pemain pula berikan yang terbaik.

“Kami tidak mahu mendengar lagi alasan, tindakan tegas akan diambil sekiranya pemain masih gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan bukan untuk kami tetapi untuk negara.

“Jurulatih perlu nilai sama ada pemain bermain dengan baik atau tidak. Kami akan dengar cadangan daripada jurulatih mengenai tindakan yang perlu diambil,” kata Subramaniam dalam sidang media, hari ini.

Tegasnya, pemain berstatus bintang dalam skuad kebangsaan tidak boleh menjadikan BAM sebagai ‘mangsa’ dengan menganggap badan induk itu tidak berupaya mendapatkan penaja tanpa kehadiran mereka.

“Ada pemain kita yang berfikiran seperti itu, mereka ingat kalau mereka tiada, BAM tidak boleh dapat penaja.

“Kita juga ada langkah-langkah lain, kita ada perancangan kita termasuk memperhebatkan lagi program pembangunan. Jadi, mereka tidak boleh jadikan kami sebagai ‘tebusan’.

“Mereka kena capai keputusan terbaik bukan untuk kami tetapi untuk negara,” kata Subramaniam.

BAM sebelum ini dilaporkan telah menunaikan permintaan beberapa pemain bintang yang menuntut kenaikan gaji dan elaun yang difahamkan mencecah jutaan ringgit.

Malah, BAM juga sudah membawa jurulatih berprofil tinggi dari luar negara iaitu Kenneth Jonassen dari Denmark yang menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan manakala Herry Iman Pierngadi, hari ini diumumkan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki.